EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi bergambar bersama tetamu jemputan dan wakil pemanah sekolah selepas perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 18 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGORSUKANKINI

Atlet SUKMA lipat ganda latihan, sasar kedudukan tiga negeri terbaik

SHAH ALAM, 6 JUN: Kontinjen Selangor kini dalam keadaan 85 peratus bersedia bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak pada bulan hadapan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata kontinjen negeri dalam proses memuktamadkan senarai atlet berkelayakan selain melipat gandakan usaha dan latihan secara intensif.

“Kita dalam keadaan cukup bersedia. Sekarang sudah 85 peratus persediaan. Kita juga sudah turun ke Sarawak untuk lihat persiapan lojistik di sana.

“Dalam masa yang sama kita juga dalam proses muktamadkan senarai atlet dan melipat ganda usaha dengan latihan selain sasaran kedudukan tiga teratas,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Najwan ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran di Bandar Nusa Rhu di sini, hari ini.

Kejohanan SUKMA ke-21 dijadual bermula 17 hingga 24 Ogos dengan Sarawak menjadi tuan rumah bagi acara sukan dwi tahunan negara tersebut.

Mac lalu, Najwan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) memaklumkan kontinjen Selangor bakal menurunkan kira-kira 1,138 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan pada SUKMA di Sarawak.

Sementara itu, Najwan berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik akan mengagihkan lapan lembu dan 20 kambing sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Jelasnya, agihan dilaksanakan di kawasan berkepadatan tinggi dengan majoriti penduduk terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita agih kepada surau dan masjid yang belum dapat pada tahun lepas. Kita juga pilih lokasi yang ada kepadatan penduduk ramai dan B40 supaya capai sasaran membantu masyarakat memerlukan,” katanya

 


Pengarang :