Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Peserta teruja berpeluang talaqqi dengan ulama terkenal dunia

Menghimpunkan lebih 20 ulama terkenal dan sarjana Islam termasuk dari Mesir, Thailand dan Indonesia, Festival Turath Islami Selangor 2024 melabuhkan tirainya.

Berlangsung antara 26 Mei hingga 2 Jun, perhimpunan lapan hari itu menyaksikan pengajian lengkap kitab tersohor Hadis 40 karya Imam an-Nawawi, tokoh ulama ahli sunnah dan mazhab Syafie yang dikenali seluruh dunia.

Imam an-Nawawi dan karyanya, termasuk kitab hadis Riyadus Salihin, diangkat sebagai tema kali ini. Tahun lepas, festival ini mengangkat Imam al-Ghazali dan kitabnya Ihya Ulumuddin.

Festival turath membuka peluang kepada peserta khatam Hadis 40 di depan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab, selain mendengar sebahagian tema daripada lebih 1,800 hadis Riyadus Salihin.

Festival yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam turut mempamerkan manuskrip al-Quran, kitab agama dan kemajuan peradaban alam Melayu.

Menariknya tahun ini, Selangor menampilkan kumpulan nasyid popular Ikhwah Abu Shaar (Syria) dan Majelis Azzahir (Indonesia) mendendangkan puji-pujian kepada Allah dan rasul-Nya.

Peserta yang menghayati pelbagai acara melahirkan rasa syukur dapat mendalami ilmu sepanjang festival ini.

 

Daurah Hadis 40

“Ini pertama kali saya datang, ia menarik dan ilmu dikongsi amat luar biasa. Antara dikongsi ialah dalam Islam ada pelbagai fahaman dan pentingnya kita faham serta dapat membezakannya.”

Muhammad Fauzi Amir Shah, 26, dari Medan, Indonesia. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 

“Semoga inisiatif Kerajaan Negeri ini diteruskan lagi pada masa akan datang, merupakan pendekatan yang amat bagus untuk umat Islam memantapkan lagi ilmu warisan Islam.”

Ishak Othman, 52, dari Pulau Pinang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Seminar Riyadhu as-Salihin

“Seminar ini dapat membuka mata masyarakat bahawa kitab lama perlu dipelajari dan memberi faedah kepada umat Islam.

Alhamdulillah saya bersyukur, harapan tahun depan ada lagi supaya kami dapat datang lagi (bertalaqqi). Insya-Allah, selepas ini saya akan mengulangkaji dan menulis balik apa yang disyarahkan.”

Muhammad Irfan Muhammad Zaki, 20, dari Kedah. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 

“Saya hadir hari ini untuk Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin. Pertama saya ucap tahniah kepada Selangor kerana mengadakan festival seperti ini, untuk menaikkan balik semangat masyarakat untuk mengkaji, membaca dan kembali kepada kitab-kitab turath.

Sebab pengarang kitab-kitab turath ini bukan calang-calang. Orang yang menguasai pelbagai bidang seperti Imam An-Nawawi.

Berbeza sekarang ramai ulama, tapi tidak menguasai bidang yang menyeluruh.”

Asyraf Ismail, 51, dari Perak

 

Pameran al-Wahyu

“Saya datang sini bersama sekumpulan rakan sebenarnya mahu melihat keindahan masjid ini tetapi kebetulan pemandu pelancong kami bawa ke pameran ini.

Ia sesuatu yang amat unik apabila tulisan arab al-Quran ditulis menggunakan tangan.”

Che Guo, 30, dari China. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

“Ini kali pertama ada Pameran al-Wahyu pamer manuskrip tokoh Melayu. Sangat menarik, cuma koleksi terhad.

Mungkin tahun akan datang boleh perbanyakkan lagi selain selitkan pengisian seperti pertandingan bagi menarik lebih pengunjung.”

Srie Azrina Zulkifli, 40, dari Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Himpunan Ilmuan Muda
Timur Tengah

“Teruja dan terharu hampir menitiskan air mata dapat berjumpa sebab kita tahu beliau (Dr Ali Jum’ah) adalah ulama besar. Beliau banyak menasihati pada kami supaya terus mencari ilmu”

Muhammad Mukrim Zulkifli, 22, dari Negeri Sembilan

 

“Sangat seronok dapat bertemu dengan syeikh (Dr Ali Jum’ah) yang mana kita tahu ulama besar, kemudian saya juga diajak bersama dengan kawan-kawan memperkenalkan syeikh ini macam mana. Terjemahan dengan teknologi terkini bolehlah faham apa yang syeikh sampaikan,”

Atira Syamimi, 21, dari Selangor

 

Konsert dan Darul Ehsan Berselawat

“Satu selawat, Allah akan berselawat kepada kita 10. Rahmat juga akan mencurah-curah kepada bumi. Harap orang (muslim) di Selangor sering berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW”

Muhammad Sudi Maulana Al Falah, 32, dari Selangor

 

“Saya datang sebab rasa membuak, dia beri kebaikan kepada kita semua, dapat pahala sama-sama. Paling menarik bila cuti sekolah ini boleh bawa anak. Saya pun kenal sangat kumpulan Abu Shaar Bro dari Mesir ni. Dapat tahu kumpulan tersebut datang ke Selangor terus saya datang ke sini.”

Nurhulwanis Zailani, 21, Shah Alam

 


Pengarang :