EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail meninjau perkembangan projek pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam ke Hutan Melintang, Perak pada 4 Jun 2024. Foto Facebook Rizam Ismail
EXCOSELANGOR

Jambatan hubungkan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang siap Jun 2026

SHAH ALAM, 7 JUN: Projek jambatan baharu yang menghubungkan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam ke Hutan Melintang, Perak dijangka siap pada Jun 2026, kata EXCO kemajuan desa.

Menerusi Facebook, Datuk Rizam Ismail menjelaskan pembinaan sepanjang 2.8 kilometer dengan kos RM219 juta kini mencapai tahap 28 peratus sejak ia dilaksana tahun lalu.

“Saya berkesempatan untuk melawat dan melihat sendiri kemajuan serta memantau projek pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang pada 4 Jun lalu.

“Saya diberi penerangan perjalanan projek oleh wakil Jabatan Kerja Raya dan pemaju Meranti Budiman Sdn Bhd. Setakat hari ini, prestasi projek melepasi 28 peratus kemajuan,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Rizam turut membangkitkan isu setempat berkait keselamatan penduduk sepanjang proses binaan tersebut selain meminta pemaju menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Semoga pembinaan ini dapat siap mengikut waktu yang ditetapkan seterusnya memberi kemudahan dan kelebihan sosioekonomi kepada DUN Sungai Air Tawar,” katanya.

Pada 2021, Kerajaan Negeri mengumumkan pembinaan jambatan baharu merentas Sungai Bernam yang dilaksana bawah projek persekutuan jalan luar bandar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pembinaan jambatan berkenaan bakal memendekkan masa perjalanan dari Sungai Air Tawar ke Perak selama 30 minit, sekali gus berupaya meransang aktiviti ekonomi setempat.

Projek itu turut melibatkan pembinaan jalan sepanjang 1.2km, pemasangan lampu di persimpangan jalan dan jambatan, sistem perparitan serta pengalihan utiliti.


Pengarang :