AGENDAJENAYAH

Remaja bermotosikal dari Selangor ke Pahang mahu main bola maut kemalangan

LIPIS, 8 JUN: Hasrat remaja lelaki menyertai perlawanan bola sepak dengan menunggang motosikal dari Kuala Langat, Selangor ke Kuala Lipis, di sini semalam tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan.

Kejadian jam 4.30 petang di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta, dekat sini berlaku ketika mangsa berusia 17 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat untuk ke Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata siasatan awal mendapati nahas di laluan berselekoh itu dipercayai berpunca apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel bahagian kiri sebuah lori yang berada di laluan sama, lapor Berita Harian.

“Pemandu lori lelaki tempatan berusia 23 tahun dari arah Raub menuju Padang Tengku, Lipis untuk menghantar muatan kayu getah ke sebuah kilang. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Polis memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan. Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya hari ini.


Pengarang :