Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi menyerahkan sumbangan kepada aktivis reformasi Azman Hassan atau Bob Kelana Jaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar sampaikan sumbangan kepada Bob Kelana Jaya, doakan diberi kesembuhan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada Azman Hassan atau lebih dikenali Bob Kelana Jaya, seorang aktivis awal era reformasi yang kini menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata sumbangan tersebut disampaikan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi untuk membantu urusan harian dan perubatan Bob.

“Saudara Bob tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu dan mengesankan punca pendapatan beliau terutamanya untuk menampung kos rawatan dialisis dan ubat.

“Sebagai sebahagian dari kerangka Ziarah Madani, saudara Farhan melawat saudara Bob baru-baru ini dan telah pun menyampaikan sedikit sumbangan daripada pihak saya,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar Bob dikurniakan kesembuhan.

– BERNAMA


Pengarang :