AGENDANASIONAL

Ugut sebar video peribadi, warga emas rugi lebih RM40,000

JEMPOL, 9 JUN: Seorang lelaki warga emas kerugian RM44,500 apabila diperas seorang wanita warga asing yang mengugut akan menyebarkan video bogelnya,

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mangsa berusia 61 tahun itu terpaksa membayar sejumlah wang kepada suspek yang dikenalinya di Facebook sebagai Ayuni Seri bagi mengelakkan videonya tersebar.

“Suspek dipercayai warga Indonesia membuat panggilan video dalam keadaan tidak berpakaian pada 3 Jun, 4.30 petang, mangsa diminta membuka pakaian dan melayan (panggilan) video itu lebih kurang seminit.

“Susulan itu, pengadu menerima (panggilan) video lucah terbabit dan suspek mengugut menyebar gambar pengadu di media sosial dengan ugutan sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata pengadu yang juga pesara kerajaan membuat pengiriman wang sebanyak enam kali ke empat akaun berlainan berjumlah RM44,500 pada 5 Jun hingga 7 Jun.

Beliau berkata mangsa terus diminta memasukkan wang sebanyak RM58,500 semalam untuk menyelesaikan masalah tersebut namun disebabkan kehabisan wang, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :