Anggota bomba memadamkan kebakaran 14 kontena mengandungi pelbagai barangan perindustrian di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang pada 8 Jun 2024. Foto JBPM Selangor
AGENSISELANGOR

Empat belas kontena terbakar, bomba giat teruskan operasi pemadaman

SHAH ALAM, 9 JUN: Operasi memadam lapan daripada 14 kontena yang terbakar di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, semalam diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pagi ini.

Penolong pengarah operasinya berkata lima lagi kebakaran dipadamkan sepenuhnya setakat jam 7.40 pagi tadi, menjadikan keseluruhannya enam, termasuk sebuah kontena semalam, lapor Berita Harian.

“Ketika ini, masih berbaki lapan kontena sedang dipadamkan dengan kerja-kerja pengasingan. Pasukan menggunakan bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya untuk operasi pemadaman.

“Sekarang di peringkat ‘overhaul’ (baik pulih). Dianggarkan operasi pemadaman membabitkan baki kontena yang terbakar selesai tengah hari,” kata Ahmad Mukhlis Mokhtar.

Beliau menambah kebakaran meningkat sehingga 14 kontena semalam berikutan ada yang terbakar di bahagian dalam dan kerja pangasingan giat dijalankan West Port serta dipantau bomba.

Sebelum ini, Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dilapor berkata kebakaran 14 kontena berukuran 12.1 meter setiap satu (40 kaki) berjaya dikawal pada jam 2.39 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kontena mengandungi pelbagai barangan meliputi kertas, besi keluli, kayu pokok pain, bahan mineral, aluminium dan mesin basuh untuk dobi.

 


Pengarang :