Umat Islam bersembahyang di Masjidil Haram semasa ziarah haji tahunan di Mekah, Arab Saudi pada 8 Ogos 2019. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Arab Saudi edar al-Quran terjemahan, sedia pusat media buat liputan

MAKKAH, 9 JUN: Pihak Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sedang mengedarkan sejuta naskhah al-Quran terjemahan kepada jemaah haji pada 10 hari pertama Zulhijah.

Menurut Saudi Press Agency (SPA), Ketua Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sheikh Dr Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais dilaporkan berkata program itu merupakan pemberian berharga daripada dua masjid suci kepada jemaah haji.

Menurut laporan oleh SPA, Al-Sudais berkata kepimpinan Kerajaan Arab Saudi komited untuk mempromosikan mesej al-Quran secara global dan memperkukuh nilai toleransi dan kesederhanaan.

Al-Sudais dilaporkan oleh agensi berita itu berkata kepimpinan Kerajaan Arab Saudi mengutamakan perhatian kepada dua masjid suci dan pengunjungnya, bertujuan memudahkan para jemaah haji melakukan ibadah mereka.

Sementara itu menurut laporan berkenaan, presidensi juga bersedia untuk meningkatkan kekerapan acara dan aktiviti keagamaan di dua masjid itu pada 10 hari pertama Zulhijah bagi memperkaya pengalaman jemaah haji dari seluruh dunia dalam melaksanakan ibadah haji.

Dalam perkembangan lain, SPA melaporkan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan telah menyediakan pusat media sebagai kemudahan untuk membuat liputan Custodian of the Two Holy Mosques’ Guests Programme for Hajj, Umrah, and Visit di sini.

Pusat media itu mengetengahkan usaha Kerajaan Arab Saudi memberikan perkhidmatan kepada umat Islam sepanjang program yang membolehkan ribuan umat Islam di seluruh dunia menunaikan haji, yang ditaja oleh Penjaga Dua Masjid Suci iaitu Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Menurut laporan agensi berita itu, pusat media berkenaan merangkumi perkhidmatan disediakan kepada jemaah haji dan menyiarkan siaran media dan laporan televisyen yang diselaraskan kepada pelbagai media cetak, audio dan visual bagi membolehkan mereka menghantar dan memantau program berkenaan.

Pusat itu dilengkapi dengan semua yang diperlukan, peralatan, peranti moden dan petugas media khusus.

-BERNAMA


Pengarang :