Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuat persampelan terhadap aliran air berbuih yang dikesan di Sungai Gombak pada 8 Jun 2024. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

Kesan aliran berbuih di Sungai Gombak, LUAS jalankan siasatan

SHAH ALAM, 9 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca aliran berbuih yang dikesan di Sungai Gombak sekitar 1 tengah hari semalam.

Agensi dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan siasatan sehingga jam 4 pagi tadi tidak menemukan sebarang kesan.

“Siasatan LUAS bersama Air Selangor ditangguh berikutan kekangan akses selain keadaan gelap serta kawasan hutan tebal.

“Siasatan akan disambung semula hari ini bagi mengenal pasti punca aliran berbuih tersebut dan tindakan berkaitan bagi mencegah ia berulang,” katanya di Facebook.

Semalam, LUAS mengesan aliran berbuih di Sungai Gombak selain bau seakan diesel dikesan di satu lokasi tapak projek pembangunan di kawasan aliran tersebut.

LUAS juga melakukan pensampelan di lokasi dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

“Keadaan semasa terkawal dan pasukan LUAS bersama Air Selangor sedang menjalankan siasatan menjejaki punca aliran berbuih berkenaan di hulu Sungai Gombak dan anak sungai berkaitan,” katanya.

 

 


Pengarang :