Gambar struktur portal pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras yang dikongsi di media sosial. Foto Facebook Media Selangor
AGENDANASIONAL

Menteri: Lebuhraya SPE selamat diguna, pasang alat kesan keretakan

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras di sini kerana ia selamat dan tiada sebarang keretakan pada binaan berkenaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ketika memberikan jaminan itu, Nanta berkata alat pengesan keretakan akan segera dipasang pada struktur persimpangan bertingkat di Jalan Cheras bagi memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan.

Beliau berkata pemasangan alat berkenaan hanya satu langkah proaktif dalam memastikan struktur tersebut benar-benar selamat walaupun laporan pakar dan jurutera semalam mengesahkan tiada sebarang masalah mahupun keretakan terhadap struktur berkenaan.

“Memang kita puas hati, laporan pakar memang tiada masalah di struktur itu, saya pun dah lihat sendiri, keretakan yang didakwa itu tidak ada dan jalan selamat digunakan.

“Cuma dengan pemasangan alat ini, kita akan terus pantau bersama LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) dalam beberapa minggu ini kalau ada kesan sebarang pergerakan atau betul-betul terjadi keretakan supaya kita boleh tahu dan ada amaran awal,” katanya.

Nanta berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau struktur persimpangan bertingkat SPE di Jalan Cheras di sini menggunakan kren pengangkat dengan diiringi Ketua Pengarah LLM Datuk Ir Sazali Harun.

Semalam, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini.

Ciapan itu mendapat reaksi Nanta yang mengarahkan LLM dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di lokasi sebelum kementerian pada hari sama dalam kenyataan ringkas mengesahkan siasatan mendapati ia hanya kesan garisan hitam iaitu sendi pembinaan semasa kerja konkrit yang dibuat dahulu.

SPE dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi merangkumi Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

-BERNAMA


Pengarang :