Keadaan kawasan kemalangan selepas bas yang membawa 39 penumpang berlanggar dengan lori treler di Jalan Bahau-Keratong, Rompin pada 9 Jun 2024. Foto Bernama X
AGENDANASIONAL

Mangsa kemalangan bas tidak sempat merasa pencen bulan depan

KUANTAN, 9 JUN: Anak sulung kepada pembantu operasi sekolah yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kuantan – Segamat awal pagi tadi, tidak menyangka rombongan yang diikuti bapanya itu menjadi aktiviti terakhir sebelum bersara wajib pada Julai ini.

Siti Zulaikha Hamzah, 25, berkata ayahnya, Hamzah Ahmad, 60, yang akan mula berpencen pada 7 Julai selepas berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka lebih 20 tahun, pada awalnya enggan mengikuti rombongan ke Terengganu itu.

“Kalau ikutkan, ayah tak nak ikut rombongan sebab ayah memang payah nak pegi jauh. Tapi kawan-kawan ayah ajak sebab dia pun dah nak pencen, dia ikut juga pergi bersama,” katanya kepada media ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Siti Zulaikha yang kelihatan sugul berkata ayahnya juga berubah menjadi amat pendiam beberapa hari sebelum menyertai rombongan berkenaan.

Hamzah yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HTAA akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Masjid Tanah selepas selesai proses bedah siasat.

Selain Hamzah, dua lagi yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan treler itu ialah Penolong Kanan di sekolah berkenaan Hasnatul Adilah Hassan, 48, maut di tempat kejadian, manakala pemandu kedua bas itu Hadi Asyraf Mad Idris, 29, meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.

Sementara 36 lagi cedera dalam kemalangan itu yang berlaku berhampiran simpang tiga Bahau di sini.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

-BERNAMA

 


Pengarang :