Penduduk Palestin termasuk orang tua dan kanak-kanak meninggalkan Semenanjung Gaza dengan berjalan kaki untuk mencari perlindungan susulan konflik berterusan antara Israel dan Hamas pada 10 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Hamas sambut baik resolusi Majlis Keselamatan PBB, sokong gencatan senjata

GAZA, 11 JUN: Pergerakan Hamas semalam mengumumkan mereka menyambut baik resolusi yang diterima pakai oleh Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan menyokong perjanjian gencatan senjata menyeluruh untuk menamatkan konflik di Gaza, lapor Xinhua.

Hamas dalam satu kenyataan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pengantara untuk terlibat dalam rundingan tidak langsung bagi melaksanakan prinsip resolusi “yang konsisten dengan tuntutan rakyat dan perjuangan kumpulan itu,” termasuk gencatan senjata secara kekal di Gaza, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, pertukaran tawanan dan tahanan serta pembinaan semula Gaza.

Pergerakan itu mengulangi komitmennya untuk meneruskan “usaha dan perjuangan” bagi hak rakyat Palestin.

Presiden Palestin turut memuji penerimaan resolusi itu sebagai langkah ke arah yang betul untuk menghentikan konflik yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

Presiden Palestin juga menyeru semua pihak untuk memenuhi tanggungjawab mereka bagi melaksanakan resolusi itu.

Terdahulu di New York, Majlis Keselamatan PBB semalam meluluskan resolusi yang bertujuan mencapai perjanjian gencatan senjata menyeluruh dalam tiga fasa untuk menamatkan konflik di Gaza.

Resolusi 2735 diluluskan dengan majoriti besar iaitu 14 undian menyokong dan Rusia berkecuali, menggesa kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik untuk melaksanakan sepenuhnya syarat cadangan tersebut “tanpa berlengah dan tanpa syarat”.

– BERNAMA-XINHUA


Pengarang :