Pondok polis di Bandar Country Homes Rawang sudah dinaik taraf menjadi sebuah balai. Foto X JKR Gombak
ADNSELANGOR

Pondok polis dinaik taraf balai, keselamatan penduduk lebih terjamin

SHAH ALAM, 11 JUN: Pondok polis di Bandar Country Homes, Rawang dinaik taraf menjadi sebuah balai, kata wakil rakyat Rawang.

Chua Wei Kiat berkata pondok yang siap dibina pada 2019 itu mengambil masa agak lama untuk ditukar kepada status balai.

“Terdapat beberapa faktor ia mengambil masa lama untuk dinaik taraf status balai antaranya disebabkan emolumen.

“Namun kini projek dibawah pembangunan Rancangan Malaysia ke-10 yang menelan belanja RM16 juta berjaya dinaik taraf sebagai balai polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengadakan lawatan ke Balai Polis Bandar Country Homes Rawang pada 4 Jun 2024. Foto Facebook Polis Selangor

“Terima kasih juga kepada Ahli Parlimen Selayang (William Leong) yang telah lama berusaha untuk menaik taraf status pondok kepada balai polis ini,” katanya kepada Selangorkini.

Wei Kiat berkata penduduk di sekitar Bandar Country Homes juga lebih berasa selamat berikutan terdapatnya balai polis berhampiran mereka.

“Balai ini juga akan ditambah anggota polis untuk berkhidmat di kawasan ini demi keselamatan komuniti setempat,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan turut mengadakan lawatan ke Balai Polis Bandar Country Homes Rawang.

Lawatan itu bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan anggota bertugas, keadaan infrastruktur dan logistik bagi melancarkan pengoperasian balai itu.


Pengarang :