Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berucap pada Karnival Usahawan MBPJ dan Koperasi di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 12 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Bengkel teknologi kecerdasan buatan antara program menarik di karnival usahawan MBPJ

PETALING JAYA, 12 JUN: Karnival Usahawan dan Koperasi yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Banquet, di sini hari ini menampilkan pelbagai program menarik.

Datuk bandarnya berkata karnival yang menghimpunkan ratusan peserta itu bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama antara koperasi dan usahawan tempatan.

Menurut Mohamad Zahri Samingon, antara program menarik yang dianjurkan ialah bengkel Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara percuma untuk mendedahkan usahawan penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti dalam perniagaan.

“Program ini juga menganjurkan sesi taklimat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Selangor untuk memberi pendedahan kepada peserta peranan koperasi dalam pembangunan usahawan tempatan.

“Selain itu, program “Recycle & Redeem”, MBSJ menawarkan kupon makanan bernilai RM15 kepada peserta yang membawa botol dan tin. Tujuan memberi kesedaran kepada peserta mengenai pemuliharan alam sekitar. Kupon boleh ditebus di kendera saji di perkarangan Dewan Banquet,” katanya ditemui selepas melancarkan karnival tersebut di sini hari ini.

Pada majlis sama, Mohamad Zahri turut melancarkan tujuh garis panduan aktiviti perniagaan baharu di Petaling Jaya.

Menurutnya, 31 reruai disediakan sahabat strategik MBPJ dikendalikan usahawan yang mengikuti kursus pembangunan anjuran PBT berkenaan.


Pengarang :