Polis membawa bapa dan ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi memohon sambungan reman membantu siasatan pembunuhan mangsa pada 7 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dituduh abai anak, ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah

PETALING JAYA, 13 JUN: Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lepas.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Kedua-dua mereka minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum pertuduhan dibacakan, jurubahasa mahkamah bertanya sama ada kedua-dua tertuduh sihat atau tidak, dan Zaim Ikhwan menyatakan sihat manakala Ismanira pula memaklumkan dia tidak sihat dan mengalami muntah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

– BERNAMA

 


Pengarang :