SHAH ALAM, 13 JUN: Seramai 169 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke-78.
Istiadat pengurniaan pingat kepada penerima bagi daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor di Dewan Jubli Perak bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Mengiringi Tengku Amir Shah pada istiadat berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim, Speaker Dewan Undangan Negeri Lau Weng San, barisan EXCO Kerajaan Negeri, wakil rakyat serta pemimpin masyarakat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/Pingat8-500x338.jpg.webp)
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Makmur, Sungai Besar Megat Pauzi Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perbendaharaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Maizatul Hanisa M Isa mengetuai senarai penerima pingat apabila dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT).
Seramai 24 individu menerima PPT, selain 15 penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (PPC) yang terdiri daripada kakitangan Kerajaan Negeri yang berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun.
Dalam pada itu, 114 individu yang berjasa kepada Selangor dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala 16 kakitangan Kerajaan Negeri yang berkhidmat lebih 20 tahun menerima Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).