Al-Quran dari Thailand menggunakan motif hiasan bunga lebih besar antara manuskrip yang di pamerkan pada Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Kitab warisan Melayu, ‘tokoh ulama sama hebat dengan Barat’

Usianya mencecah 400 tahun. Tulisannya bertinta emas, kertasnya dari Eropah. Itulah al-Quran dihasilkan Kesultanan Terengganu, tersimpan rapi sehingga kini.

Kalam itu sebahagian lebih 20 manuskrip klasik Melayu yang dipapar pada Pameran al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu sempena Festival Turath Islami Selangor.

Dianjur antara 26 Mei hingga 2 Jun, ia berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah melawat pameran pada majlis pembukaan Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 yang diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah yang merasmikan pameran itu teruja melihat manuskrip ratusan tahun dipamer buat kali pertama ketika festival.

Kesultanan di pantai timur itu antara kerajaan Islam di alam Melayu paling banyak menghasilkan salinan mashaf al-Quran pada abad ke-19 — ketika pemerintahan Sultan Omar Muazzam Riayat Shah (1839-1876).

Dikenali sebagai Baginda Omar, sultan Terengganu kesembilan memerintah hampir 37 tahun. Baginda juga sultan pertama melantik mufti negeri itu.

Walau tiada surat tauliah rasmi, pelantikan mufti dibuktikan melalui surat wakaf Sultan Omar bertarikh 19 April 1874.

Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata tidak dinafikan Istana Terengganu pada abad tersebut aktif menyalin semula kitab suci.

Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria

“Sebuah naskhah al-Quran dari Istana Terengganu pernah dihadiahkan kepada Istana Selindong Bayu Saiburi, Pattani (selatan Thailand) sebagai pertukaran diplomatik.

“Kesemua hurufnya bertinta emas. (Naskhah ini) masih tersimpan rapi di Muzium al-Quran Narathiwat, Thailand,” kata Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria yang ditugaskan sebagai kurator Pameran al-Wahyu.

Sebuah lagi manuskrip Terengganu disimpan muzium sama turut mengandungi emas. Bezanya ia hanya menggunakan titik-titik emas pada bahagian awal halaman, tengah dan paling belakang al-Quran.

Bukan semata-mata emas yang dibanggakan. Penggunaan bahan berkualiti  membolehkan manuskrip ratusan tahun ini bertahan lama. Misalnya, naskhah itu ditulis di atas kertas laid yang dibawa dari Eropah.

Kandungan tiga manuskrip ini mengupas ilmu aqidah, fiqah dan tafsir. Dua daripada tiga manuskrip ini menggunakan kertas laid dari Eropah antara Manuskrip yang di pamerkan pada Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Kertas jenis ini popular di benua tersebut antara abad ke-12 hingga 19. Kertas buatan tangan berwarna putih krim itu mempunyai tekstur garis halus. Sekali gus menjadikannya tampak klasik dan mewah. Sekarang kertas ini digunakan oleh artis.

“Selain kertas, ciri penting pada manuskrip ialah dakwat hitam. Dakwat mashaf lama diperbuat daripada abu tulang haiwan dan gading. Juga ada dakwat dihasil daripada jelaga. Sehingga kini ada satu kilang dakwat jelaga yang masih wujud di Indonesia.

Dakwat diadun madu

“Orang dahulu kala, bukan gunakan dakwat hitam itu semata-mata. Sebaliknya ia diadun bersama madu atau getah gajus untuk kekalkan dakwat pada kertas. Kalau tidak dicampur medium berkenaan, nanti mungkin tulisan pada mashaf akan jadi debu semula,” jelasnya.

Kesultanan lain di Asia Tenggara yang aktif menyalin manuskrip al-Quran antaranya Riau-Lingga (di Sumatera), Sulawesi Selatan (Sulawesi), Banten, Cirebon, Yogyakarta, Surakarta (semuanya di Jawa), Sumbawa, Bima (kedua-duanya di Nusa Tenggara), Bone (Sulawesi), Ternate dan Tidore (kedua-duanya di Maluku).

Sehubungan itu, ada perbezaan seni ragam hias manuskrip kitab suci mengikut kawasan. Al-Quran dari Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan selatan Thailand ada identiti tersendiri.

Manuskrip pembuatan sampan dari Muzium Narathiwat, Thailand ini memperincikan
bahagian-bahagian sampan. Ia antara manuskrip yang di pamerkan pada Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Mashaf dari Terengganu lebih banyak dilukis dengan motif ukiran kayu dan seni rumah tempatan. Ia termasuk tebar layar, juga rekaan bertingkat seakan-akan singgahsana istana. Lukisan bunga halus tidak ditinggalkan. Berbeza dengan Pattani, mereka lebih banyak menggunakan motif bunga lebih besar.

Al-Quran dari Jawa pula lebih ketara menggunakan pepohon yang dilukis secara simbolik. Pengkaji mampu menilai asal mashaf hanya melihat ragam hias lukisan birai mengelilingi kertas kitab suci itu.

Ciri-ciri seni ragam hias itu membolehkan pengkaji membezakan al-Quran dari alam Melayu dengan al-Quran Empayar Uthmaniyah di Laut Mediterranean yang berkuasa antara awal abad ke-14 hingga awal kurun ke-20.

Semua manuskrip al-Quran klasik dalam Pameran al-Wahyu dibawa dari Muzium al-Quran Narathiwat (Thailand), Perpustakaan Negara Malaysia, ATMA UKM dan koleksi orang persendirian.

Selain manuskrip al-Quran, pameran berkenaan turut mempamerkan kitab fiqah, tauhid, sejarah dan perubatan berbahasa Melayu yang ditulis dengan huruf jawi.

Koleksi kitab tua itu membuktikan ulama terdahulu mendidik orang Melayu dengan dakwah dan keilmuan Islam.

Ulama hebat

“Pentingnya penemuan ini adalah, pada waktu dahulu, orang Melayu tidak mempunyai pengetahuan bahasa Arab. Apabila naskhah ini ditulis ulama dengan tulisan jawi (bahasa Melayu), ia memberi manfaat kepada keseluruhan masyarakat Melayu,” kata Ros Mahwati lagi.

Salah satunya manuskrip Nazam Kanz Ula karangan ulama terkenal Terengganu, Tokku Tuan Besar atau nama sebenarnya Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Dikenali nabam atau nabang dalam tradisi rakyat, nazam itu bacaan puisi atau syair buat junjungan Rasulullah.

Kitab abad ke-19 ini mengandungi ilmu teknikal dan bahan diperlukan bagi menghasilkan bilah keris. Ia antara manuskrip yang di pamerkan pada Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Turut dipamerkan Manuskrip Muniyatul Musolli (Cita-cita Orang yang Bersembahyang), karya tokoh ulama tersohor Syeikh Daud al-Fatani, mengulas fiqah solat.

Tidak terhad kepada agama, manuskrip lama berkaitan petua perubatan juga ditemui. Ia menukilkan tentang bahan-bahan akar kayu untuk perubatan.

“Menerusi kitab ini, mereka bukan saja tulis tentang manfaat herba berkenaan. Tetapi cara menggunakannya. Setiap satu langkah ditulis. Begitu teliti. Herba-herba alam Melayu sudah diceritakan sejak dahulu lagi.

“Manfaatnya sehingga kini kita terima. Disebabkan itu sehingga kini di rumah-rumah orang Melayu masih banyak tanaman herba. Sebab dari dahulu kita sudah tahu manfaatnya,” kata Ros Mahwati.

Sewajarnya masyarakat kita bangga dengan warisan manuskrip lama berkenaan yang sekali gus membuktikan tokoh ulama alam Melayu sama hebat dengan Barat, tambahnya.

“(Sekarang) ini tidak (begitu sikap), mereka ingat buku-buku yang dihasilkan di Barat lebih hebat. Sedangkan sebenarnya kita tidak tahu ada manuskrip lama sebegini. Penulis Melayu sangat canggih dan sistematik, tapi katanya kita tidak secanggih mat salih yang hasilkan kitab lebih menarik.

“Bezanya apa yang mereka tulis atau hasilkan ini berkaitan dengan keperluan pada masa itu. Seperti petua perubatan, syair mahupun seni pembuatan kapal dan meriam,” katanya.

Justeru menyokong Pameran al-Wahyu yang diusahakan Kerajaan Selangor bersama UKM, beliau mencadangkan ia dilaksana lebih kerap. Pameran seperti ini lebih ringkas dan cepat difahami golongan muda kini.


Pengarang :