SHAH ALAM, 14 JUN: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri kembali lagi pertengahan bulan ini membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Gombak Setia dan Banting.
Bermula 9 pagi hingga 3 petang, program dijadual berlangsung di Dewan MPKS Bandar Baru Kuala Selangor bagi DUN Bukit Melawati pada 22 Jun.
Program sama diteruskan di Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Gombak Setia (29 Jun) dan di Dewan Sri Jugra bagi DUN Banting (30 JUN).
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin mempelawa orang ramai menyertai programberkenaan yang menyediakan saringan kesihatan seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, barah, mata, telinga dan gigi.
“Anda digalak membuat prapendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kerana penilaian faktor risiko setiap individu melalui borang saringan awal di aplikasi tersebut.
“Hubungi Selcare di talian 1-800-226-600 jika mengalami sebarang masalah berkaitan pendaftaran,” katanya Facebook.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.
Program diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.