Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat haiwan korban ketika Majlis Perasmian Sumbangan Korban Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 25 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negeri teruskan amalan sumbang ribuan lembu, kambing untuk korban

SHAH ALAM, 14 JUN: Kerajaan Negeri meneruskan amalan menyumbang lembu dan kambing untuk ibadah korban tahun ini bagi menampung rakyat kurang berkemampuan melaksanakannya.

Memperuntuk RM6 juta, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan 1,000 ekor kambing dan 700 ekor lembu diserahkan kepada masjid dan surau seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri turut menetapkan syarat kepada pembekal seperti berat minimum 270kg untuk lembu dan 100kg untuk kambing dalam hasrat mencapai kualiti ibadah korban terbaik,” katanya di Facebook.

Jelasnya lagi, pentadbiran negeri tidak pernah terlepas menyumbang untuk ibadah korban seperti tahun-tahun sebelum ini dan berharap manfaatnya dirasai umat Islam yang memerlukan.

Pada 25 Mei, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata sebanyak 22 syarikat akan membekalkan lembu, manakala 25 syarikat lagi membekal kambing bagi ibadah tersebut.

Tajaan korban turut melibatkan anak syarikat negeri iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad.

Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Worldwide Holdings Berhad, Central Spectrum Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan KDEB Waste Management.

 


Pengarang :