AGENDAJENAYAH

Dua lelaki hilang insiden bot karam di Sibu

SIBU, 17 JUN: Dua penumpang hilang manakala tiga lagi terselamat dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Sungai Rajang, Belaga semalam.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mangsa yang hilang ialah Balavishnu Permaloo, 36, serta Rhuban Apparoo, 30, dan kedua-duanya adalah lelaki serta berasal dari Sungai Karangan, Padang Serai, Kedah.

Beliau berkata maklumat dan identiti tiga lagi mangsa yang terselamat belum diperoleh.

Menurut pusat itu, sebaik panggilan mengenai kejadian itu diterima pada 4.33 petang pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dengan lima anggota dan jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira 31 kilometer.

“Mengikut maklumat awal lima pekerja Syarikat Clinroom Indusrti Sdn Bhd yang juga syarikat penyelenggara empangan Bakun menyewa bot penduduk kampung untuk bersiar-siar di sekitar Jeram Mejawah, Belaga yang dikemudi oleh Robert Jaang (penduduk Rumah Apan).

“Semasa kejadian, bot yang dinaiki karam disebabkan arus deras di Jeram Mejawah. Jurumudi bot berusaha menyelamatkan kesemua penumpang namun dua penumpang dihanyutkan arus deras,” menurut kenyataan itu di sini, malam tadi.

Sebaik selesai mengumpul maklumat dan memantau keadaan di lokasi, pasukan bomba bergerak balik ke balai dan operasi ditangguhkan pada 6.30 petang manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini bersama agensi lain yang berkaitan.

– BERNAMA


Pengarang :