SHAH ALAM, 17 JUN: Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) bakal diperluas ke sembilan daerah dalam memperkukuh institusi pendidikan aliran Islam negeri.
EXCO agama berkata kurikulum dan sukatan pelajaran akan ditambah baik merangkumi modul tahfiz serta sains dan teknologi.
Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah, pengukuhan kemahiran teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta fasiliti sukan akan turut diberi perhatian.
“Sekarang kita ada empat termasuk di Sabak Bernam dan Klang. Kita (hasrat) perluas ke semua sembilan daerah selepas ini,” katanya Ketika program ibadah korban di Surau Al-Bukhary Laman Glenmarie di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/3-2-500x333.jpg.webp)
Beliau turut menggesa institusi tahfiz persendirian yang belum mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar berbuat demikian melalui Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (Pitas).
Kata Mohammad Fahmi, pengusaha perlu berbuat demikian sebelum 31 Disember bagi melayakkan mereka menyertai program pemutihan.
“Tahun depan Pitas akan memastikan permohonan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) diberikan kepada pengusaha supaya mereka boleh beroperasi.
“Selepas hantar permohonan KMTT, ini memberi ruang dan peluang untuk mereka beroperasi selama tempoh tiga tahun dan perlu memenuhi syarat mendapatkan KM penuh dalam tempoh itu.
“Tapi jika dalam tempoh tiga tahun itu mereka tidak boleh memenuhi syarat mendapatkan KM penuh maka penguatkusaan boleh dilakukan. Ini bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar dan guru terjamin,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/tahfiz-500x333.jpg.webp)
Sebelum ini, Mohammad Fahmi berkata 724 institusi tahfiz persendirian dikesan beroperasi tanpa mendaftar dengan Jais setakat 31 Mac lalu dan menggesa pengusaha mendaftar melalui Pitas sebelum 31 Disember depan.
Katanya, Pitas ybertindak sebagai agensi sehenti termasuk mengemukakan dokumen permohonan pusat tahfiz kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan KMTT.
Menerusi KMTT, PBT dapat merancang semula kawasan di samping memberi peluang kepada pengusaha atau tuan tanah untuk menjalankan aktiviti termasuk bersifat sementara berdasarkan tempoh masa ditetapkan.
Pelaksanaan KMTT juga memberi peluang kepada pengusaha dan PBT melalui kaedah perundingan. Institusi tahfiz persendirian harus memenuhi syarat KMTT dan boleh ditamatkan sekiranya gagal mematuhinya.