Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Presiden Recep Tayyip Erdoğan pada 17 Jun 2024 membincangkan mengenai bantuan kemanusiaan selain perkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang antara dua negara. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Malaysia, Turkiye sepakat tingkat bantuan kemanusiaan di Gaza, perkukuh kerjasama

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Turkiye sepakat meningkatkan bantuan kemanusiaan khususnya di Gaza, Palestin.

Menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi, Anwar berkata perkara itu antara yang dibincangkan bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam perbualan telefon mereka semalam.

“Presiden Erdogan turut berkongsikan pengalamannya dalam menyatakan kebimbangan serta protes kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Sidang Kemuncak G7 di Itali yang dihadiri beliau baru-baru ini,” katanya.

Selain mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, Perdana Menteri turut mengulangi jemputan kepada Erdogan untuk melawat Malaysia pada Julai atau Ogos ini.

Anwar memberi jaminan lawatan itu akan menjadi lebih bermakna kerana ia seiring ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye yang terjalin pada 17 Jun 1964 serta Perkongsian Strategik 10 Tahun antara kedua-dua negara.

– BERNAMA


Pengarang :