EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tiga dari kiri) menyampaikan cederamata ketika melawat Weeroc di Paris, baru-baru ini. Warga Malaysia, Salleh Ahmad (lima dari kiri) merupakan pengasas bersama syarikat berkenaan. Foto Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Projek taman reka bentuk litar bersepadu Selangor tarik minat anak tempatan di luar negara

SHAH ALAM, 19 JUN: Projek taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Selangor menarik perhatian anak tempatan yang sedang berkhidmat di syarikat pengendali terkemuka dunia, Weeroc, berpangkalan di Paris.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan beliau berpeluang bertemu Salleh Ahmad, warga Malaysia yang juga pengasas bersama Weeroc dan menetap selama lebih 20 tahun di Perancis.

“Semasa perbincangan kami, beliau memberitahu telah lama mencari peluang untuk pulang ke Malaysia. Beliau kini bermotivasi dengan inisiatif taman reka bentuk IC oleh kerajaan Selangor.

“Salleh melihat ini sebagai peluang dan masa yang sesuai untuk beliau pulang ke tanah air dengan kemahiran dan pengetahuan dalam reka bentuk IC,” katanya pada 15 Jun menerusi Facebook.

Pada 4 Jun lalu, Sze Han mengadakan kunjungan ke United Kingdom bagi menghadiri Minggu Teknologi London 2024 yang turut disertai lebih 90 negara dari seluruh dunia.

Sze Han menambah, pertemuannya dengan Salleh mengesahkan Malaysia memiliki ramai bakat tempatan di luar negara yang bersedia untuk kembali menyumbang semula kepada tanah air.

“Pertemuan hari ini mengesahkan pandangan yang mendalam bahawa Malaysia kaya dengan potensi yang belum diterokai.

“Dengan infrastruktur dan peluang sekarang, bakat Malaysia yang bekerja di luar negara bersedia untuk kembali dan menyumbang kepada tanah air mereka,” katanya.

Untuk rekod, Weeroc merupakan syarikat yang mereka dan mencipta IC serta peranti mikroelektronik bagi industri pengimejan perubatan, keselamatan dan angkasa lepas di seluruh dunia.

Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan pengeluar pesawat Airbus antara syarikat yang bekerjasama dengan Weeroc.


Pengarang :