SHAH ALAM, 20 JUN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melancarkan bas elektrik percuma Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.
Majlis sempena program Gagasan Rumpun Selangor mempamerkan dua bas elektrik terbaharu sebagai projek perintis ke arah menjadikan Petaling Jaya bandar raya bebas karbon menjelang 2030.
Tengku Amir Shah yang berkenan menaiki bas elektrik berkenaan dibawa ke beberapa lokasi menarik bersama EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail serta pemimpin tempatan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata tahun ini genap 10 tahun MBPJ menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada masyarakat.
“Semuanya bermula melalui insiatif MBPJ menyediakan bas komuniti sebanyak tiga kali sehari pada 2008. Kemudian kita perkenalkan bas percuma pada April 2014.
“Sekarang perkhidmatan ini sudah semakin meluas meliputi kawasan seluas 112.5 kilometer dengan 211 hentian di seluruh Petaling Jaya selain kekerapan antara 20 hingga 25 minit,” katanya kepada pemberita.
Menurut Mohamad Zahri, usaha MBPJ turut diiktiraf Malaysia Book of Records pada 2017 bagi kategori pihak berkuasa tempatan paling banyak menyedia perkhidmatan bas percuma.
Jelasnya, MBPJ komited menjayakan Dasar Pengangkutan Awam Petaling Jaya 2030 sekali gus menyaksikan bandaraya itu dilengkapi 100 peratus kemudahan awam.
“Menjelang 2030, kita sasarkan Petaling Jaya dilengkapi kemudahan awam 100 peratus dan usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat sekitar,” katanya.