Pelajar Maahad Tahfiz Darul Salamah tekun menghafal al-Quran di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri sasar 75 peratus tahfiz persendirian sertai program pemutihan

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan 75 peratus daripada 724 institusi tahfiz persendirian (ITP) di Selangor menyertai program pemutihan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata pendaftaran program berkenaan boleh dibuat di laman web Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) hingga Disember ini.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berucap ketika majlis perasmian Pusat Data Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 21 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kini ITP tumbuh seperti cendawan, ada yang beroperasi di gudang dan rumah kedai. Jadi program ini penting bagi menbantu ITP mendapatkan lesen sekali gus menjamin keselamatan pelajar dan guru ketika di premis.

“Penyertaan ITP juga memudahkan Jais menyalurkan bantuan sekiranya berdepan mereka masalah seperti kekurangan tenaga pengajar dan pembayaran gaji,” katanya ditemui selepas merasmikan pusat data Jais di sini hari ini.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah (kiri) bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (kanan) ketika perasmian Pusat Data Jais di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 21 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Fahmi menambah, pendaftaran ITP dalam program berkenaan membolehkan permohonan pemutihan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT).

“KMTT bertujuan memberi peluang kepada PBT melaksanakan perancangan semula sesuatu kawasan di samping memberi ruang kepada ITP untuk menjalankan aktiviti (beroperasi) dalam tempoh tiga tahun.

“Oleh itu, pada 2028 kita akan lihat sama ada 724 ITP ini berjaya diputihkan atau digugurkan. Pada masa sama, ITP yang memenuhi syarat KMTT, layak dipertimbangkan untuk Permohonan Kebenaran Merancang Penuh kepada PBT jika dimohon pengusaha tahfiz,” katanya.

Pada Februari, Fahmi memaklumkan pemutihan maahad tahfiz 2.0 bagi membantu memudahkan urusan ITP mendapatkan lesen operasi.

Tahun lalu, fasa pertama program dijalankan terhadap lebih 500 sekolah tahfiz dan berjaya memutihkan kira-kira 35 peratus daripadanya.


Pengarang :