Tong gas cecair petroleum tanpa permit sah digunakan premis dobi dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor pada 18 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

28 tong gas LPG disimpan dalam premis dobi dirampas

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 28 tong gas petroleum cecair (LPG) dari sebuah premis dobi di Taman Ekoperniagaan di sini Selasa lalu kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata rampasan berkenaan dilakukan pihaknya melalui operasi pada 12 tengah hari selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Beliau berkata setelah siasatan dilakukan, premis terbabit gagal mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual LPG apabila diminta anggota penguat kuasa KPDN.

“Satu tindakan kes dikenakan ke atas premis tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

“Sebanyak 28 tong gas LPG dan beberapa dokumen perniagaan turut disita bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut juga akan dilakukan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai permit barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua–duanya.

Lilis Saslinda berkata bagi pertubuhan atau perbadanan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

– BERNAMA


Pengarang :