Purata gaji di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 5.1 peratus pada 2024, menurut Kajian Jumlah Saraan 2023 Mercer pada 20 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

14 individu termasuk kakitangan bank ditahan kes wang hilang RM24.2 juta

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Polis menahan seorang lagi individu menjadikan jumlah keseluruhan 14 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank melibatkan kerugian RM24.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata individu yang ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah semalam itu merupakan seorang wanita warga tempatan dan dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang kakitangan bank.

“Setakat ini, hasil siasatan mendapati sindiket ini mula aktif pada awal 2023 dan kesemua suspek menerima wang komisen antara RM100,000 hingga RM240,000 mengikut peranan masing-masing.

“Kita juga percaya dalang utama bagi kes ini adalah individu yang dipercayai pakar dalam membuat pemalsuan dokumen peribadi seperti kad pengenalan serta cap jari bagi proses pengeluaran duit,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata siasatan juga mendapati dalang utama kes turut terlibat membuat perancangan dan melakukan pengeluaran sebanyak lebih RM551,000 dari sebuah bank lain sebelum ini pada awal tahun dan kes tersebut juga dalam siasatan polis.

“Keseluruhan barangan yang dirampas setakat ini adalah sembilan kenderaan pelbagai jenis dan jenama, wang tunai berjumlah RM1.93 juta, telefon bimbit pelbagai jenama, kad ATM, debit dan kredit serta barang kemas dan dokumen dipercayai berkait dengan aktiviti jenayah ini,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada 16 Jun lepas media melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.

Penahanan lelaki berusia 40-an di Sabah pada Jumaat lepas itu dibuat setelah polis menahan seorang wanita yang juga kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu pada 13 Jun.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

-BERNAMA

 


Pengarang :