SHAH ALAM, 22 JUN: Selangor menyasarkan kutipan 61 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata dengan sasaran itu pihaknya yakin Selangor berada pada kedudukan tiga teratas.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/najwan-1-500x335.jpg.webp)
“Kita menetapkan sasaran kutipan 61 pingat emas dalam semua 37 jenis sukan yang dipertandingkan nanti. Namun, sekiranya lebih kutipan pingat emas, kita bersyukur.
“Dengan kutipan 61 pingat emas ini, Insya-Allah melayakkan Selangor berada pada kedudukan ketiga teratas,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Pickleball Jemputan PREC 2024 dan Gelanggang ARENA A.T.A.S @ SACC Mall, di sini hari ini.
Mengulas berhubung senarai akhir atlet yang bakal mara ke temasya SUKMA ke-21 itu nanti, Mohd Najwan berkata ia dijangka diumum awal bulan depan.
“Senarai atlet kita akan umum awal Julai nanti kerana buat masa ini semua atlet giat melakukan latihan intensif bagi memastikan mereka benar-benar bersedia fizikal dan mental.
“Ia juga bergantung kepada prestasi dan penilaian jurulatih terhadap tahap kecerdasan dan prestasi masing-masing bagi mempersiapkan diri ke temasya itu nanti,” jelasnya.
Pada Sukma 2022 kontinjen Selangor mengakhiri kejohanan di kedudukan ketiga dengan mengumpul 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa.