SUBANG JAYA, 23 JUN: Inisiatif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) mempromosi Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) berbaloi selepas menerima penyertaan tinggi dari negara luar.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata beberapa tahun ini Invest Selangor giat menjalankan siri promosi di luar antaranya Indonesia, Thailand dan Vietnam bagi mencari peluang menjalin kerjasama memacu ekonomi.
“Sambutan sangat menggalakkan. SIBS bukan hanya terima penyertaan dari luar negara tetapi juga banyak syarikat dan agensi tempatan mahu sertainya.
“Jadi tahun ini kita anjurkan dua kali supaya lebih ramai dapat sertai sekali gus memberi manfaat kepada sektor ekonomi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Seni Komuniti Puchong di sini hari ini.
SIBS yang diperkenal pada 2016 menarik penglibatan pelbagai pihak agensi kerajaan serta negara luar antaranya China, Japan, Uganda, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.
Sidang menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).
Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.
Tahun ini sidang berlangsung pada Julai dan Oktober dengan sasaran transaksi pelaburan berjumlah RM7 bilion.
Tahun lalu, sidang bertaraf antarabangsa itu merekodkan nilai transaksi pelaburan RM6.12 bilion, meningkat empat kali ganda berbanding sasaran RM1.5 bilion.