Ulama Pattani Baba Ismail menyampaikan kuliah dhuha Siri Talaqqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif al Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

Kupasan kitab turath tokoh Islam Pattani tarik minat masyarakat

SHAH ALAM, 24 JUN: Kupasan karya agung Imam al-Ghazali sempena Program Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Negeri di sini hari ini, menarik minat pengikut setia Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni.

Suri rumah, Zuraidah Abu Hassan, 61, berkata beliau enggan melepaskan peluang menghadiri kuliah dhuha tokoh Islam Pattani itu yang diketahui kehadirannya menerusi Facebook.

Zuraidah Abu Hassan

“Saya sudah hadir kuliahnya sejak tahun lalu di masjid negeri. Saya akui, ilmu yang disampaikan Baba Ismail agak tinggi namun cara penyampaian mudah difahami.

“Kalau ada buat lagi, Insya-Allah saya tidak lepaskan peluang untuk datang. Saya seronok datang ke kuliah dhuha, ada macam-macam ilmu yang boleh diperoleh,” katanya.

Perawat rawatan terapi tradisional, Nur Hidayah Abdullah, 29, berkata beliau hadir atas dorongan suami yang turut meminati kuliah agama yang disampaikan Baba Ismail.

Nur Hidayah Abdullah

Menurut Nur Hidayah, mereka turut berkesempatan menghadiri Festival Turath Islami Selangor pada bulan lalu yang mengupas kitab Hadis 40 Imam Nawawi.

“Kami memang meminati majlis ilmu seperti ini. Kalau ada masa terluang, memang pasti akan datang. Alhamdulillah program seperti ini amat bermanfaat kepada rakyat Selangor,” katanya.

Terdahulu, Baba Ismail mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan karya Imam al-Ghazali dengan tajuk kepentingan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Program anjuran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) itu diadakan selama tiga hari bermula hari ini, esok dan 27 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Terdapat dua sesi iaitu kuliah dhuha (9 hingga 11 pagi) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam), manakala pada 25 dan 27 Jun sesi kuliah dhuha diadakan bermula 9 hingga 11 pagi.

Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada Festival Turath Islami Selangor bagi tahun kedua yang diadakan pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.

 


Pengarang :