Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menyampaikan kuliah Isyak dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penyampaian mudah difahami antara tarikan peserta berulang kali hadir program talaqqi

SHAH ALAM, 24 JUN: Penyampaian bersahaja, ringkas dan mudah difahami tokoh ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menarik peserta untuk datang berulang kali ke majlis kupasan kitab turath kendaliannya.

Pelajar Muhammad Afiq Mohd Fakri, 23, berkata beliau sudah mengikuti kupasan karya agung Imam Al-Ghazali oleh tokoh itu sejak tahun lalu melalui beberapa siri kuliah dan talaqqi.

Muhammad Afiq Mohd Fakri, 23. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya memang tertunggu-tunggu. Bila ada program ini saya pasti datang. Cara penyampaiannya jelas dan mudah difahami. Tidak menggunakan bahasa tinggi yang akhirnya buat penonton tidak faham.

“Diharap program seperti ini dapat diteruskan kerana kupasan kitab turath ini sesuatu yang sangat istimewa. Kitab warisan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam,” katanya ditemui pada kuliah Isyak sempena program Talaqqi Kitab Turath Islami di masjid negeri malam tadi.

Sementara itu Shamsuri Ismail, 48, berkata beliau sudah lama berminat mengikuti kupasan kitab turath oleh tokoh itu namun tidak berkesempatan kerana bekerja pada waktu siang.

Shamsuri Ismail, 48. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tapi hari ini ada kuliah Isyak jadi saya sangat bersyukur akhirnya dapat ikuti kupasan kitab oleh tokoh ini. Diharap majlis ilmu seperti ini diperbanyak pada waktu malam bagi memberi peluang kepada mereka yang bekerja mengikutinya,” katanya.

Sementara itu, mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan berkaitan fadilat belajar, Baba Ismail berkata menuntut ilmu dan menyampaikannya adalah fardhu bagi umat Islam.

Namun katanya ia harus disertai niat baik untuk memartabat syiar Islam bukan tujuan bermegah-megah.

“Tidak sepatutnya bagi orang yang jahil diam atas kejahilannya. Wajib kita menuntut ilmu bagi menghilangkan kejahilan dan kebodohan. Contohilah Imam al-Ghazali walaupun sudah banyak ilmu, tetapi sentiasa berusaha belajar.

Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni ketika menyampaikan kuliah Isyak dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Wajib untuk mencari ilmu dan tidak boleh berdiam diri dengan kejahilan. Begitu juga mereka yang berilmu, wajib sampaikan ilmunya,” katanya ketika menyampaikan kuliah Isyak di masjid negeri.

Program Talaqqi Kitab Turath Islami anjuran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) diteruskan hari ini dan Khamis menerusi sesi kuliah Dhuha bermula 9 hingga 11 pagi sebagai kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjur hujung bulan lalu.

Selain IBDE, siri tersebut turut dianjurkan bersama Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.

Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menyampaikan kuliah Isyak dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :