Pengunjung mengambil gambar padang yang baharu ditukar kepada jenis rumput Zeon Zoysia selepas perasmian padang Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 13,000 pelajar terima manfaat penggunaan percuma stadium, kemudahan sukan

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Lebih 13,000 pelajar menerima manfaat inisiatif penggunaan percuma kemudahan stadium bagi penganjuran kejohanan sukan di peringkat sekolah yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sejak Oktober 2023.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata inisiatif pengecualian sewaan kepada sekolah bertepatan dengan usaha kementerian untuk merakyatkan penggunaan kemudahan sukan di peringkat akar umbi.

“Sebelum inisiatif pengecualian sewaan ini dilaksanakan, kadar sewaan RM3,000 dikenakan bagi penggunaan separuh hari Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan RM5,000 untuk penggunaan satu hari. Bagi sekolah bukan milik kerajaan, mereka perlu membayar sewa RM4,000 untuk penggunaan separuh hari dan RM8,000 untuk penggunaan satu hari.

“Tidak semua stadium di Malaysia berada di bawah seliaan KBS. Ada stadium ditadbir kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persendirian. KBS juga telah mengadakan beberapa pertemuan dengan PBT bagi menggalakkan pelaksanaan program sama,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangauli (PH-Tuaran) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu dibuka kepada semua sekolah melibatkan penggunaan trek dan kemudahan di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City, gelanggang bola jaring dan boling padang di Kompleks Sukan Bukit Kiara serta padang Stadium Hoki Tun Razak di Kompleks Sukan Jalan Duta.

Pada 25 Julai 2023, Hannah berkata PSM memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah untuk menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun khusus untuk penganjuran hari sukan.

– BERNAMA


Pengarang :