Antara penerima sumbangan pada Majlis Simbolik Serahan Sumbangan Maslahah Umum Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 24 Jun 2024. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais agih sumbangan maslahah RM195,500 kepada lapan penerima

SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerah sumbangan maslahah bernilai RM195,500 kepada lapan penerima semalam.

Mais memaklumkan dana daripada pelunasan wang tidak patuh syariah melalui bahagian Baitulmal diagih kepada umat Islam yang memerlukan.

“Peranan Mais membantu berkaitan maslahah ummah melalui peruntukan Baitulmal Mais antaranya daripada sumber wang tidak patuh syariah.

“Setakat Jun ini, Mais menyalurkan sumbangan untuk penganjuran program, sosial, baik pulih dan pendidikan berjumlah RM850,000 kepada 109 agensi dan individu,” katanya menerusi kenyataan.

Antara penerima sumbangan ialah Yayasan Universiti Pahang berjumlah RM57,500, Masjid Diraja Klang (RM48,000), As-Sofa Centre of Excellence (RM30,000) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sijangkang Jaya (RM20,000).

Selain itu, Masjid Raja Muda Semenyih, Masjid Bandar Baru Sungai Buloh; Masjid Al-Islamiah Kampung Lindungan dan Yayasan Dakwah Islamiah masing-masing menerima RM10,000.

Mais turut menggalakkan umat Islam menunaikan zakat melalui Lembaga Zakat Selangor (LSZ) dan wakaf kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

“Umat Islam juga digalakkan menunaikan tanggungjawab melalui Mais terutama melibatkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka, pembayaran fidyah, pelunasan wang tidak patuh syariah, pengurusan wasiat dan hibah,” katanya.

 


Pengarang :