AGENDAJENAYAH

Lelaki baju merah, berjaket dicari polis kes bungkusan bom palsu

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Individu dipercayai suspek yang membuat penghantaran bungkusan bom palsu di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di Putrajaya pada 5 Jun kini diburu polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lakaran lelaki memakai pelitup muka itu, dirakam di pejabat sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor, pada hari sama bungkusan itu dikirim ke Motac.

Beliau berkata orang ramai yang ada melihat lelaki itu memakai baju merah dan jaket serta penutup kepala hitam, untuk tampil membantu polis.

“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan proses penghantaran bungkusan berkenaan menggunakan identiti individu lain.

“Individu yang identitinya digunakan mengesahkan dirinya tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh dan tidak mengetahui sebarang urusan penghantaran barang,” katanya pada sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian, boleh menyalurkannnya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya atau polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Dalam perkembangan berasingan Rusdi berkata pihaknya mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota, yang menawarkan khidmat seks pada harga murah.

“Menjadi hasrat polis Kuala Lumpur untuk menghapuskan tempat dan aktivit pelacuran. Saya tidak mahu melihat kegiatan persundalan di tepi jalan, menarik orang ramai berhenti di tepi jalan semata-mata mahu melihat mereka.

“Pihak polis akan mengambil tindakan secara berterusan bukan sahaja di lokasi berkenaan malah di tempat lain yang dikenal pasti,” katanya.

Rusdi berkata 409 serbuan telah dijalankan bagi membanteras aktiviti pelacuran di enam daerah di sekitar ibu kota, bermula 1 Januari hingga 23 Jun.

Daripada jumlah itu, 1,691 individu daripada pelbagai negara ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti persundalan.

– BERNAMA


Pengarang :