Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (duduk, kanan) melihat silibus pembelajaran bersama murid tahun tiga, Farah Ain Natalia Mohd Fauzi (tiga,kanan) ketika melawat Sekolah Kebangsaan Chepor, Ipoh pada 17 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dasar Pendidikan Digital lahir murid berintegriti, sedia depani ledakan teknologi

GOPENG, 27 JUN: Pelbagai inisiatif dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mendepani ledakan teknologi yang turut mengubah landskap pembangunan modal insan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ia termasuk mempersiapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan merangkumi pemahaman, kemahiran serta risiko pendidikan masa hadapan serta fokus pada aspek yang membentuk perwatakan anak bangsa masa hadapan.

“Rempuhan-rempuhan teknologi kini tidak dapat dielakkan, ditambah dengan evolusi sosial yang bergerak dalam nuansa pascanormal serta pelbagai impak dan implikasi yang muncul natijah pandemik COVID-19.

“Dalam konteks KPM, antara inisiatif yang diambil ialah peluncuran Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang salah satu objektifnya melahirkan murid fasih digital berintegriti dan beretika,” katanya dalam sembah ucapan pada perasmian Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Gopeng di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sementara itu Fadhlina berkata KPM juga sedang giat melaksanakan persiapan ke arah agenda reformasi pendidikan dengan dipacu oleh enam hala tuju.

Enam hala tuju itu ialah Pendidikan Digital; Pemerkasaan Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI); Perluasan dan pengukuhan Prasekolah; dan Pelan Pendidikan dan Intervensi Kurikulum Persekolahan.

Beliau berkata agenda pendidikan bukan semata-mata fokus kepada aspek prestasi dan kecemerlangan akademik, tetapi prasarana serta fasiliti institusi pendidikan harus menyeluruh dan komprehensif.

“Aspek keinsanan atau dimensi manusiawi wajar menjadi keutamaan dalam pendidikan, esensi utama kependidikan ini mesti dipertahankan.

“Oleh yang demikian, peranan pendidikan sebagai usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, sebagaimana terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan harus diberi penekanan,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :