Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor Dato’ Johary Anuar bersama peserta Persidangan Bandar Kreatif Selangor sempena sambutan ulang tahun ke 18 Bandaraya Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ pada 27 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pelan tindakan wanita, pelaksanaan dasar antara tumpuan sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 27 JUN: Pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 antara tumpuan yang akan dibincangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang.

Dijadual bersidang dua minggu mulai 4 Julai ini, EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata ia bagi menangani isu berbangkit membabitkan golongan wanita.

“Dasar ini dilancarkan 31 Mei lalu dan antara perkara yang menjadi tumpuan adalah waktu anjal dan juga pengarusperdanaan gender pembangunan.

“Keterlibatan semua pihak perlu dan pada sidang DNS akan datang antara tumpuan utama kita adalah kaedah pelaksanaan dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Bandar Kreatif Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Tukang gitar Amariz Gitar Smith, Mohd Hazrey Yahya (kanan) menunjukkan gitar yang dihasilkan beliau kepada EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari (dua kanan) dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (dua kiri) pada Persidangan Bandar Kreatif Selangor sempena sambutan ulang tahun ke 18 Bandaraya Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ pada 27 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Anfaal turut mengucapkan tahniah kepada MBPJ kerana menyokong hasrat Kerajaan Negeri dalam merancakkan industri kreatif di Selangor dan Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa dan memberi komitmen hadir ke persidangan untuk bersama membantu Kerajaan Negeri menyediakan blueprint tindakan ke arah pembentukan bandar kreatif di Selangor.

“Semoga kerjasama ini terus diperhebat sekali gus mampu mengangkat Selangor menjadi bandar kreatif menjelang 2030,” jelasnya.

Terdahulu, antara pengisian persidangan itu adalah pembentangan dari Eastern Regional Organization for Planning and Human Settlements (EAROPH), perkongsian pengalaman bandar kreatif dari Majlis Bandaraya Ipoh dan bengkel penyediaan pelan induk Bandar Kreatif Selangor.


Pengarang :