AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Tabung solidariti bantu Selangor FC terima sumbangan lebih RM20,000 takat 5 petang

SHAH ALAM, 27 JUN: Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang dilancarkan malam tadi menerima sumbangan berjumlah RM20,552.33.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata sumbangan itu diterima setakat jam 5 petang hari ini.

Beliau turut menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang menzahirkan sokongan kepada pasukan Selangor FC.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti anda kepada pasukan Selangor FC.

“Kepada yang berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan,” katanya menerusi X.

EXCO Sukan Najwan Halimi berucap ketika majlis penyerahan sumbangan MBI selangor kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Malam tadi Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan tabung berkenaan sehingga 2 Julai ini.

Inisiatif itu diambil susulan keputusan tidak adil yang dijatuhkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Gergasi Merah kelmarin.

MFL memaklumkan skuad Gergasi Merah didenda susulan tidak beraksi pada Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, Selangor FC didenda RM100,000, bayaran pampasan kerugian JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super.

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka terhadap MFL yang menghukum Selangor FC secara berlebihan.

Menyifatkannya tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan tersebut dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

Baginda juga kesal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Dato’ Hamidin Mohd Amin yang tidak bersuara sedangkan pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor antara 1995 hingga 2013.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hukuman yang dikenakan MFL mengundang kemarahan dan kekecewaan penyokong pasukan Selangor.

Beberapa wakil rakyat negeri turut bersedia menyumbang separuh gaji mereka bulan depan untuk membantu Selangor FC.


Pengarang :