AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung solidariti Selangor FC terima lebih RM34,000 takat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 28 JUN: Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang dilancar bermula 26 Jun menerima sumbangan berjumlah RM34,357.15 setakat jam 12 tengah hari tadi, kata Exco sukan.

Najwan Halimi turut berterima kasih dan menghargai penyumbang yang menzahirkan sokongan kepada pasukan Selangor FC.

“Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC.

“Kepada yang berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh scan pada kod QR yang dipaparkan,” katanya menerusi X.

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan tabung berkenaan sehingga 2 Julai ini.

Inisiatif itu diambil susulan keputusan tidak adil yang dijatuhkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada skuad Gergasi Merah sebelum ini.

Terdahulu MFL dalam kenyataan semalam berkata ahli lembaga pengarah menggunakan budi bicara untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap SFC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan ke atas pasukan itu turut dibatalkan.

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, dan penonton akan dibenarkan hadir menyaksikan pada perlawanan itu nanti.

MFL berkata tempoh rayuan diberikan kepada Selangor FC adalah tiga hari bermula semalam seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

Setakat semalam, Selangor FC berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan berkaitan.

Menerusi kenyataan malam tadi Selangor FC mengambil maklum keputusan MFL berhubung pertimbangan semula keputusan yang dibuat selaras dengan ketidakhadirannya pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, pada 10 Mei lalu.


Pengarang :