AGENDANASIONAL

Denggi turun kepada 2,438 kes minggu lepas, dua kematian dilaporkan

PUTRAJAYA, 29 JUN: Jumlah kes demam denggi dilaporkan berkurangan kepada 2,438 kes pada Minggu Epidemiologi ke-25 (ME25) iaitu bagi tempoh 16 hingga 22 Jun berbanding 2,900 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata terdapat dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME25.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME25 adalah sebanyak 72,475 kes berbanding 56,721 kes bagi tempoh sama 2023.

“Terdapat 55 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 39 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME25 adalah sebanyak 81 lokaliti berbanding 85 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 81 lokaliti dilaporkan, 59 lokaliti di Selangor, enam di Perak, lima di Kedah, tiga lokaliti masing-masing di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pulau Pinang, dua lokaliti masing-masing di Negeri Sembilan dan Sarawak serta satu di Sabah.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata terdapat satu kes direkodkan pada ME25 dan tiada wabak chikungunya dilaporkan pada minggu tersebut.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 38 kes.

Bagi survelan zika, beliau berkata sebanyak 1,250 sampel darah, enam sampel urin dan dua sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

– BERNAMA


Pengarang :