Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (tiga, kanan) melakukan gimik perasmian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Fest di Pasaraya Besar AEON Mall, Bukit Tinggi, Klang pada 29 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Fama Fest catat jualan RM24.2 juta, manfaat 2,180 usahawan

KLANG, 29 JUN: Sejumlah RM24.2 juta nilai jualan dicatat menerusi Fama Fest anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sejak 2017 hingga tahun lalu.

Memanfaatkan 2,180 usahawan, menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata program itu berjaya memperluas saiz pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar makanan.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tahun ini Fama Fest dianjur di Perak, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Sabah dengan sasaran jualan RM7.85 juta melibatkan 755 usahawan.

“Selangor adalah lokasi keempat tahun ini yang kita sasarkan potensi jualan sebanyak RM750,000 yang akan dapat memberi manfaat kepada 200 usahawan.

“Diharap dengan penganjuran program Fama Fest 2024 di Selangor ini pengguna memperoleh produk berasaskan pertanian dan industri asas tani pada harga berpatutan seterusnya merancakkan ekonomi setempat,” katanya pada Fama Fest 2024@Selangor di sini hari ini.

Orang ramai mendapatkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan sempena Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Fest di Pasaraya Besar AEON Mall, Bukit Tinggi, Klang pada 29 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mohamad berkata Fama Fest 2024@Selangor juga membuka peluang kepada usahawan tempatan mengeksport produk mereka melalui sesi pemadanan perniagaan.

“Ia melibatkan agen pengeksport dari United Kingdom, Hong Kong dan Kemboja dengan potensi jualan bagi sesi ini dianggarkan berjumlah RM3 juta,” katanya.

Katanya, Fama Fest juga menjadi platform mempromosi MYGAP iaitu pensijilan amalan pertanian baik Malaysia yang memberi penekanan terhadap amalan pertanian mampan bagi pengeluaran produk agromakanan selamat, berkualiti dan meyakinkan pengguna.

“Produk keluaran ladang MYGAP atau MYOrganic boleh menggunakan logo pada label produk sebagai nilai tambah kepada petani dan penternak yang mana sehingga 31 Mei lalu terdapat 10,773 ladang MYGAP di seluruh negara,” katanya.

Berlangsung sejak Khamis hingga esok, antara tarikan utama Fama Fest 2024@Selangor adalah penawaran pelbagai jualan seperti makanan segar, menu masakan warisan Melayu, jualan beras putih tempatan serta produk agromakanan.

Fama Fest turut memberi pendedahan kepada usahawan ke arah mempertingkat tahap keusahawanan dan daya saing selain menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran pertanian.


Pengarang :