Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ikuti siaran langsung perbahasan sidang dewan negeri mulai 4 Julai

SHAH ALAM, 1 JUL: Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual dua minggu mulai 4 Julai melalui YouTube SelangorTV atau  Facebook MediaSelangor.

Laporan berita perbahasan wakil rakyat juga boleh dicapai menerusi portal Selangorkini secara harian yang turut meliputi edisi bahasa MandarinTamil dan Inggeris setiap hari.

Menurut Speaker Lau Weng San, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang tersebut.

Katanya, pembentangan itu termasuk Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

RS-1 yang dibentang dua tahun lalu menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Pelan yang bertujuan menangani cabaran semasa digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.

Weng San juga menambah istiadat angkat sumpah wakil rakyat baharu Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao yang menang pilihan raya kecil pada Mei juga diadakan dalam persidangan kali ini.

“Selain itu, isu yang mendapat tumpuan pada penganjuran program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor berhubung penjaja asing juga akan dibawa,” katanya lagi.

Usul dalam ADN Muda pada Julai dipilih untuk dibahas dalam sidang dewan. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor.


Pengarang :