Calon Perpaduan Dr Joohari Ariffin bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap beramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap, Simpang Ampat pada 23 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRK Sungai Bakap: Pilih calon selari Kerajaan Negeri, Pusat demi kebaikan penduduk

NIBONG TEBAL, 1 JUL: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dinasihatkan untuk memilih wakil rakyat yang selari dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan pada 6 Julai ini.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP RSN Rayer berkata pengundi perlu memberi kepercayaan kepada Dr Joohari Ariffin untuk mentadbir DUN berkenaan demi kebaikan penduduk.

“Ini kerana Dr Joohari merupakan calon Kerajaan Perpaduan seiring dengan Kerajaan Negeri dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Kerajaan Perpaduan.

“Dr Joohari boleh bawa suara rakyat terus kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dan tumpu selesai masalah penduduk tempatan lebih mudah,” kata Ahli Parlimen Jelutong ketika berucap pada ceramah perpaduan di Kem Cina, Sungai Kechil di sini malam tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang Datuk Abdul Rashid Asari menjelaskan sokongannya terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan DUN Selat Klang yang akan menerima manfaat dari kerajaan yang stabil.

Abdul Rashid memaklumkan keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan oleh mana-mana pihak.

“Keputusan dibuat setelah meneliti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran Kerajaan Negeri berada di landasan tepat demi kesejahteraan rakyat dan prestasi Amirudin yang memuaskan.

“Semasa saya menjadi pembangkang dahulu sukar untuk mendapatkan peruntukan, permohonan melalui surat dihantar Kerajaan Negeri tidak dilayan. Jadi, saya ingin ingatkan kepada pengundi untuk tidak mengulangi kesilapan saya dengan memilih calon Kerajaan Perpaduan pada hari pengundian nanti,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Perikatan Nasional (PN).

HARAPAN mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat.

Manakala PN pula diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala hari mengundi 6 Julai.

 

 


Pengarang :