Pengunjung melihat model kediaman di Pavilion PKNS sempena Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Projek kediaman SA Sentral dapat sambutan di karnival PKNS

SHAH ALAM, 30 JUN: Projek kediaman SA Sentral antara projek hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mencuri tumpuan di Pilih Karnival di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Eksekutif Jualan PKNS Mohd Nor Azlan Mohd Norri berkata lebih 100 pembeli berpotensi telah berdaftar sempena prapelancaran projek kondominium di Seksyen 14 itu.

Eksekutif Jualan PKNS Mohd Nor Azlab Mohd Norri

“Projek kondominium di SA Sentral ini antara yang mendapat perhatian orang ramai kerana lokasinya yang strategik kerana terletak di kawasan pusat bandar.

“Projek ini akan dilancar secara rasmi pada September nanti tetapi kita buka dahulu pendaftaran kepada pembeli yang berminat. Kita jangkakan ia akan mendapat sambutan hangat,” katanya ketika ditemui di karnival berkenaan semalam.

Mohd Nor Azlan menambah, PKNS turut menyediakan pelbagai tawaran menarik kepada pembeli kediaman SA Sentral seperti kabinet dapur dari Ikea bernilai RM10,000 hingga RM20,000 secara percuma.

Selain itu, katanya, pembeli hartanah PKNS berpeluang menikmati kadar pinjaman dengan faedah lebih rendah daripada Bank Islam menerusi promosi sempena Pilih Karnival.

“Selama dua hari sempena karnival ini, Bank Islam tawarakan kadar pinjaman dengan faedah sebanyak 3.8 persen berbanding 4.1 atau 4.2 persen sebelum ini.

“PKNS juga ada tawarkan Memorandum of Transfer (MoT) dan perjanjian jual beli (SNP) secara percuma kepada pembeli kami,” katanya.

Pengunjung merasai pengalaman menaiki belon udara panas sempena Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pilih Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dianjur sebagai platform kepada PKNS mendekati orang ramai menerusi pelbagai aktiviti selain mempromosikan produk kepada umum.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1964, PKNS menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini sebagai agensi pembangunan negeri antara yang terunggul di Malaysia.


Pengarang :