Sebahagian pelajar yang menyertai program Mahasiswa Selangor Pulang Beraya 2024 tiba di pekarangan bangunan pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 7 April 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Inisiatif bas percuma bawa mahasiswa pulang beraya diteruskan

TASEK GELUGOR, 1 JUL: Inisiatif bas percuma yang disediakan Kerajaan Negeri untuk membawa mahasiswa Selangor pulang beraya pada Aidilfitri diteruskan pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif berkenaan merupakan komitmen Kerjaan Negeri untuk membela kebajikan mahasiswa selain meringankan beban kewangan mereka.

“Negeri akan meneruskan inisiatif ini setelah meneliti permohonan dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (Permas) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari setiap universiti.

“Namun, saya minta ketiga-tiga pihak ini mengemas kini data pelajar Selangor untuk memudahkan urusan Kerajaan Negeri laksana inisiatif ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan mahasiswa yang ingin mengetahui sama ada negeri akan meneruskan inisiatif tersebut pada sesi dialog ‘Sembang Sempoi’ program Jerayawara Kita Selangor di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak lima bas bagi membawa pulang lebih 180 mahasiswa Selangor daripada beberapa universiti tempatan sempena sambutan Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar berkata program Mahasiswa Selangor Pulang Beraya 2024 melibatkan pelajar Universiti Sains Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu dan Universiti Malaysia Pahang turut dibawa pulang menerusi inisiatif berkenaan.


Pengarang :