Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tumpu noktah miskin tegar di empat negeri

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerajaan memberi tumpuan khusus kepada empat negeri yang memiliki peratus kemiskinan tegar melebihi paras nasional.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Hanifah Hajar Taib berkata negeri tersebut ialah Sabah dengan 1.2 peratus, Kelantan (0.8 peratus), Sarawak (0.4 peratus) dan Kedah (0.3 peratus).

“Kerajaan terus komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah atau negeri selaras dengan matlamat pembangunan inklusif.

“Kerajaan memastikan penglibatan lebih ramai golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) yang ingin tahu negeri sasaran kerajaan bagi mencapai sifar miskin tegar di Dewan Rakyat, hari ini.

Hanifah menambah, keutamaan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimum potensi ekonomi serta memperkukuh kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri.

Ahli Parlimen Mukah itu menjelaskan kerajaan memperuntuk sejumlah besar dana bagi melaksana beberapa program menangani kemiskinan bawah pelbagai kementerian dan agensi.

“Sebagai contoh, kerajaan melaksanakan program penjanaan pendapatan seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat bawah Kementerian Ekonomi dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapus miskin tegar menjelang 2025, namun disingkatkan kepada tahun ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat.

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntuk RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.


Pengarang :