HULU SELANGOR, 1 JULAI: Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup hampir dua tahun berikutan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dibuka semula hari ini.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata kerja membaiki dan membina tembok penahan menggunakan ‘terralink wall system’ itu kini selesai sepenuhnya dengan belanja RM19 juta.
Menurut beliau, sistem tersebut adalah dinding pengukuh yang diperkuatkan dengan penahan dan membolehkannya bersambung terus pada struktur sedia ada atau cerun yang distabil menggunakan teknik pemakuan tanah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/4-17-500x333.jpg.webp)
“Kajian telah dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya dan mendapati sistem ini sesuai digunakan untuk baik pulih cerun setinggi 25 meter di kawasan ini selain yang pertama di Selangor.
“Setakat ini, kerja-kerja utama selesai dan mula dibuka kepada orang awam. Kini, laluan yang dapat memanfaat 10,000 pengguna hanya perlu dibuat kerja penanaman rumput sahaja selama dua minggu,” katanya pada sidang media di laluan tersebut hari ini.
Izham berharap dengan adanya laluan tersebut dapat memudahkan dan memberi keselesaan kepada penduduk.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan laluan di Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands hanya akan dibuka untuk kenderaan ringan mulai awal Januari.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat bagi memudahkan urusan ulang-alik hampir 5,000 pekerja yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor dan Genting Highlands, Pahang.
Laluan tersebut ditutup sejak 16 Disember 2022 ekoran tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat.