Calon-calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki kertas bahasa Melayu pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Ayer Hitam di Kedah pada 30 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM, KPT bekerjasama saring pelajar 10A ke matrikulasi

PUTRAJAYA, 1 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang membuat permohonan ke program matrikulasi KPM atau program melalui UPUOnline.

KPM dalam kenyataan memaklumkan hal itu bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.

“Tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM manakala KPT akan fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di universiti awam,” menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan ketetapan itu dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan daripada keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian.

Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

“KPM menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi tempat kepada pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM dan memohon untuk melanjutkan pengajian akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“Kerajaan Madani komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara,” menurut KPM.

-BERNAMA


Pengarang :