Sebahagian Orang Asli yang menyertai Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di pekarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Banting. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jakoa pastikan tiada ketirisan bantuan subsidi diesel

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Bantuan subsidi bahan api diesel kepada masyarakat Orang Asli disalurkan mulai semalam berdasarkan permohonan tuntutan yang dikemukakan mereka, menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Jabatan itu berkata pihaknya akan memperkemas proses permohonan tuntutan dengan bantuan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) yang akan turun padang, agar tiada keciciran berlaku dalam kalangan Orang Asli yang layak, dan Jakoa akan memastikan tidak berlaku ketirisan berhubung penyaluran bantuan itu.

“Bantuan ini akan membantu dalam meringankan beban kos bahan api yang ditanggung oleh masyarakat Orang Asli dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka. Bantuan ini turut meliputi mereka yang tidak termasuk dalam kategori Budi Agri-Komoditi dan Budi Individu,” menurut Jakoa dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, mengambil kira kekangan dan rintangan masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman, Jakoa akan memperhalusi mekanisma pembayaran bantuan serta menjadi agensi pemudahcara supaya proses itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Jakoa sentiasa komited dalam membantu masyarakat Orang Asli dan berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup mereka.

Jakoa turut menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani yang melibatkan pemilik kenderaan persendirian individu, petani dan pekebun kecil komoditi.

-BERNAMA


Pengarang :