Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes kesihatan mental kanak-kanak, remaja naik dua kali ganda pada 2023

SHAH ALAM, 2 JULAI: Isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat dua kali ganda kepada 922,318 kes tahun lalu berbanding 2019, kata menteri kesihatan.

Merujuk tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan, angka itu menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membabitkan kumpulan berusia antara lima hingga 15 tahun, lapor Berita Harian.

“Selaras konsep Malaysia Madani, tanggungjawab menangani permasalahan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dipikul bersama merentas agensi,” katanya dalam jawapan bertulis.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkaferi Hanapi berhubung data dan pelan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu berkenaan.

Bagi menangani isu berkenaan, Dr Dzulkefly menambah pihaknya melaksana Program Minda Sihat Sekolah bersama Kementerian Pendidikan Malaysia di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.

“KKM juga menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 63 hospital dan 37 pusat kesihatan mental masyarakat,” katanya.

Katanya, KKM turut berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang 2027, berbanding 18 pakar sedia ada di hospital KKM setakat ini.

 


Pengarang :