AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor kekal mendahului, sumbang 25.9 peratus KDNK pada 2023

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Laporan hari ini turut menunjukkan pertumbuhan KDNK tiga negeri lain merekodkan angka melebihi kadar seluruh negara iaitu Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.7 peratus kepada ekonomi Malaysia,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

Menurutnya, prestasi ekonomi Selangor dipacu sektor perkhidmatan yang berkembang 6.1 peratus, didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.

Pengembangan sektor pembuatan sebanyak 2.0 peratus di negeri ini pula disebabkan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan pemprosesan makanan.

Beliau berkata sektor pertanian yang merupakan penyumbang ketiga terbesar KDNK nasional pada 2023, meningkat sedikit sebanyak 0.7 peratus berbanding 1.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pahang muncul sebagai peneraju utama dalam sektor ini, bertumbuh 2.5 peratus (2022: 6.8 peratus) diikuti Sarawak dengan kadar pertumbuhan dua peratus (2022: 1.8 peratus) dan Melaka dengan peningkatan 6.5 peratus (2022:0.6 peratus),” kata Mohd Uzir.

Bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, ia menyumbang 6.2 peratus kepada KDNK nasional pada 2023, menunjukkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus (2022: 3.5 peratus).

Beliau berkata sektor pembinaan yang menyumbang 3.6 peratus daripada KDNK nasional, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus, mengukuh daripada 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.

“Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan dua angka di Selangor iaitu 10.2 peratus (2022: 4.2 peratus), diikuti oleh Pahang 37.1 peratus (2022: -1.0 peratus), Johor 13.2 peratus (2022: 15.9 peratus), dan Sarawak 8.3 peratus (2022: 4.0 peratus),” katanya.

Mohd Uzir menambah ekonomi Malaysia berdasarkan Indeks Pelopor dari Januari hingga April lalu akan tumbuh berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan peningkatan semua komponen kecuali import benar semi konduktor.

Indikator lain jelasnya, seperti keyakinan pengguna, pengeluaran perindustrian dan aliran eksport juga telah menunjukkan daya tahan dan potensi pertumbuhan.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan berterusan juga dapat dilihat melalui prestasi KDNK suku pertama 2024 yang lebih baik dengan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding 2.9 peratus tahun sebelumnya.

“Persekitaran ekonomi yang menggalakkan ini membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil dengan peningkatan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh daripada 70.1 peratus pada suku keempat 2023 kepada 70.2 peratus suku pertama 2024.

“Kadar pengangguran pada suku tahun pertama 2024 kekal pada 3.3 peratus seperti yang dicatatkan pada suku yang lalu,” katanya.

 

 

 


Pengarang :